Pantai Luak Esplanade bahaya untuk dikunjungi ketika ini

RONDA… Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Daerah Miri yang bertugas di menara penyelamat pantai melakukan rondaan di kawasan Pantai Luak Espalade di Miri, semalam.

MIRI: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Miri menaikkan bendera merah di Pantai Luak Esplanade di sini susulan angin  kencang dan laut begelora, semalam.

Pemasangan bendera itu merupakan tanda amaran kepada penduduk di kawasan berkenaan dan orang ramai supaya menjauhi perisiran pantai termasuklah melakukan aktiviti mandi-manda.

Selain tanda amaran (bendera merah), sepasukan anggota APM yang bertugas di menara penyelamat pantai APM turut melakukan rondaan berkala bagi memastikan kawasan tersebut berada dalam keadaan selamat.

Berdasarkan ramalan cuaca laut perairan bagi Utara Sarawak  di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia semalam,  menunjukkan angin kencang bertiup pada kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam.

Kesan tiupan angin kencang itu turut menyebabkan laut bergelora dengan ketinggian gelombang sehingga 3.5 meter.