Jaga kebersihan kawasan perumahan

KENANGAN… Datuk Francis Harden Hollis, tetamu khas dan penduduk bergambar dalam Program Gotong-Royong Kebersihan anjuran SUPP Simanggang dan MDSA di RPR Fasa II, Taman Sentosa Indah.

SIMANGGANG: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang telah menganjur Program Gotong-Royong Kebersihan di penempatan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa II, Taman Sentosa Indah di sini semalam.

Program yang mendapat kerjasama pihak Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penghuni taman perumahan mengenai kepentingan aspek penjagaan kebersihan di penempatan masing-masing.

Program tersebut melibatkan penyertaan 50 penduduk melalui pelaksaan aktiviti seperti pemungutan sampah sarap, pembersihan longkang dan menebas lalang.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis ketika menyertai program itu berkata, penghuni taman perumahan boleh berhadapan dengan ancaman penyakit jika mereka gagal mengurus kebersihan dalam penempatan masing-masing.

“Longgokan sampah tidak terurus misalnya akan mengundang kehadiran vektor seperti lalat, nyamuk, tikus dan anjing liar yang boleh menyebabkan berlaku penularan penyakit berbahaya di sesebuah taman perumahan itu.

“Justeru, penting bagi penduduk untuk mengambil bahagian dalam program ini agar mereka boleh mengulangi semula aktiviti berkenaan tanpa memerlukan penganjuran program,”kata beliau.

Selain itu, penglibatan penduduk dalam program ini juga kata beliau bukan sahaja dapat memberi manfaat terhadap kesihatan masing-masing malah turut membantu membentuk landskap perumahan yang lebih indah.

“Landskap yang indah akan dapat mewujudkan keceriaan dalam kalangan penduduk di sesebuah taman perumahan itu dengan kebersihan penempatan mereka akan menjadi ikutan kawasan berdekatan.

“Justeru, saya berharap agar penghuni taman perumahan yang lain dapat mengadakan program yang sama seperti ini demi mewujudkan imej kebersihan Bandar Simanggang di mata para pengunjung luar pada masa akan datang,” kata Harden.

Turut hadir, Timbalan Walikota MDSA, Kaunselor Andar Suntai, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDSA, Fiona Bunu, Penolong Pegawai Tadbir MDSA, Regina Giles Senin, Temenggong Kueh Aik Seng, para Ketua Masyarakat, para Ahli Majlis MDSA dan penduduk setempat.

Selain penempatan RPR Fasa II, Taman Sentosa, program gotong-royong berkenaan juga turut melibatkan kerja membersihkan salah sebuah kediaman penghuni dalam taman perumahan berkenaan iaitu Yong Geok Choo.

Oleh Valentine Ngumbang