Dua Mercu baharu Balingan bakal siap 2021

TURUN PADANG… Abdul Yakub menunjukkan sesuatu ketika melawat salah sebuah tapak pada hari Khamis.

BALINGIAN: Penduduk daerah kecil ini boleh membayangkan 2021 yang lebih cerah berikutan pelaksanaan dua projek penting yang dijadualkan siap tahun depan.

Dua projek tersebut adalah Pejabat Majlis Daerah Dalat dan Mukah(MDDM) Cawangan Balingian dan Pejabat Daerah Kecil Balingian.

Kedua-dua projek boleh dikategorikan sebagai amat penting kerana membabitkan atau menempat kakitangan pentadbiran kawasan yang progresif ini.

Projek Pejabat MDDM Cawangan Balingian yang dilaksanakan pada 4 Februari tahun ini dijadualkan siap pada 3 Ogos 2021.

Sehingga kini, status  setakat ini projek  yang menelan kos RM5 Juta berkenaan adalah 23.1 peratus atau mendahului jadual 20 peratus dengan MDDM  sendiri selaku agensi pelaksana.

Manakala, Pejabat Daerah Kecil Balingian yang juga bernilai RM5 Juta dijadualkan siap pada 21 September tahun depan dengan Jabatan Kerja Raya selaku agensi pelaksana.

Projek tersebut dilaksana pada 26 Jun lalu dan dikatakan lewat bermula disebabkan pertukaran perunding.

Bagaimanapun,  setakat ini penyediaan tapak projek telah siap dan diharapkan kerja seterusnya berjalan dengan lancar.

Bagi memastikan ia berjalan lancar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, telah mengadakan lawatan ke tapak kedua-dua projek berkenaan pada Khamis lalu.

Kedua-dua projek itu merupakan projek rakyat yang diluluskan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg, ia berada di lokasi berhampiran dan hanya dipisahkan oleh jalan raya.

Yakub juga berharap projek tersebut boleh merancakkan lagi perancangan pembangunan di Balingian dan seterusnya merealisasikan aspirasi untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai daerah penuh pada masa akan datang.

Oleh Henry B Siyu