JAPEN semarakan semangat patriotisme

RASMI… Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tiga kanan) semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Sarawak sambil diiringi, Aziz (tiga kiri) dan tetamu kenamaan yang lain. • Foto PENERANGAN

KUCHING: Walaupun dunia dilanda kegusaran berikutan pandemik Covid -19, namun ianya tidak menjadi penghalang kepada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) untuk menganjurkan program-program berbentuk patriotik sempena Bulan Kebangsaan.

Berbeza seperti tahun-tahun sebelumnya, kebanyakan aktiviti anjuran JAPEN pada tahun ini turut menerima tempias yang mana praktik norma baharu diamalkan bersesuaian dengan arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Antaranya pada 28 Julai baru-baru ini, JAPEN telah berjaya menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di peringkat kebangsaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Majlis pelancaran ini berlangsung serentak di seluruh negara, bersamaan dengan waktu pelancaran peringkat kebangsaan yang dipancarkan secara ‘live-streaming’ melalui rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’ oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Manakala di peringkat Negeri Sarawak, majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya Kuching.

Menurut Abang Johari, perbezaan budaya, tradisi dan agama bukan penghalang perpaduan rakyat di bumi kenyalang tetapi menjadi kekuatan ke arah matlamat yang sama iaitu mewujudkan Sarawak dan Malaysia yang cemerlang.

Beliau juga berharap agar seluruh masyarakat sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan, taman-taman perumahan, kampung-kampung, rumah-rumah panjang dan kenderaan bagi menunjukkan semangat kebangsaan.

Sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan kempen Kibar Jalur Gemilang 2020, JAPEN turut mengadakan Program Konvoi Jalur Gemilang sebagai salah satu pengisian acara bagi  mengekalkan dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme serta menyemai rasa cintakan negara di kalangan rakyat berbilang bangsa.

Di Sarawak, sebanyak 11 buah kenderaan agensi dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan 45 orang peserta terlibat dalam Konvoi Jalur Gemilang pada tahun ini.

Sehubungan itu, pada hari yang sama semasa Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, Pasukan Konvoi Jalur Gemilang telah memulakan perjalanan sejauh 34 KM mengelilingi Bandar Kuching yang bermula di Perkarangan Ibu Pejabat JAPEN Sarawak dan disusuli persinggahan pertama iaitu di Perkarangan Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya, Kuching.

Pasukan konvoi seterusnya bergerak ke Kampung No.4 Patingan dan Perkarangan Bangunan Sultan Iskandar di Kompleks Kerajaan Persekutuan Kuching, Jalan Simpang Tiga sebelum berakhir di Perkarangan Ibu pejabat, JAPEN Sarawak.

Pasukan Konvoi akan meneruskan perjalanan ke Sibu, seminggu sebelum sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Dataran Wisma Sanyan Sibu yang dijadualkan pada 16 September 2020 bagi mengajak orang ramai sama-sama memeriahkan Hari Malaysia dan membuat hebahan serta mengedarkan risalah bagi menyemarakkan bulan kebangsaan. – PENERANGAN