Muhyiddin tunai solat Aidiladha dalam kebiasaan baharu

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama para jemaah ketika tiba di Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara bagi menunaikan Solat Sunat Aidiladha semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, di sini, dalam suasana kebiasaan baharu.

Perdana Menteri yang memakai baju Melayu berwarna kuning kemerah-merahan serta lengkap bersampin, turut memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak Covid-19.

Solat sunat yang bermula 8.00 pagi itu dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Mohd Fikri Che Hamid.

Ketua imam masjid berkenaan Mohd Rahimi P. Ramlee berkata, jemaah yang hadir diperiksa suhu badan dan melakukan penjarakan sosial satu meter ketika berada di dalam masjid.

Beliau berkata, pihak masjid mengehadkan seramai 700 jemaah sahaja dengan 600 ahli kariah diberikan pas khas minggu lepas untuk memasuki masjid, manakala 100 pas kepada jemaah yang datang secara ‘walk-in’ semalam. Bernama