Agong, Permaisuri tunai solat Aidiladha di MTAA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersalaman dengan putera puteri anakanda selepas selesai menunaikan solat ketika berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha dan menyertai ibadah korban di Masjid Tengku Ampuan Afzan semalam. • Foto BERNAMA

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Tengku Ampuan Afzan (MTAA) di sini.

Keberangkatan Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke masjid itu pada 8.25 pagi, disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang.

Turut berangkat menunaikan solat sunat itu ialah anakanda Seri Paduka berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kesemua mereka sedondon mengenakan baju Melayu berwarna kelabu.

Solat sunat itu dipimpin oleh imam besar masjid Mohd Hafiz Suhaili manakala bacaan khutbah Aidiladha disampaikan Kadi Kuantan Abdul Aziz Abd Karim.

Seri Paduka juga berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan sembilan ekor lembu yang diadakan di perkarangan masjid sebelum berangkat pulang. – Bernama