AKSEM temui penempatan sementara

KETUA Polis Perlis Datuk Surina Saad menunjukkan penempatan sementara seperti telaga, besi paip, tempat berkumpul, sebuah pondok kecil dan barang-barang seperti pinggan mangkuk dan terdapat dua buah terowong bawah tanah yang ditinggalkan hampir setahun oleh pencari harta karun yang ditemui oleh AKSEM di Kampung Wai di sini. • Foto BERNAMA

KUALA PERLIS: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menemukan sebuah kawasan penempatan sementara yang dipercayai digunakan untuk mencari harta karun dan melakukan aktiviti tidak bermoral di kaki Bukit Putih, Kampung Wai, dekat sini.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, terowong pertama adalah sepanjang kira-kira enam meter manakala terowong kedua tidak bersambung itu digali bagi mencari barang berharga seperti harta katrun dan emas.

Beliau berkata, kawasan itu dipercayai ditinggalkan hampir setahun lalu dan ia dikesan oleh anggota AKSEM ketika melakukan rondaan pada Mac lalu.

“Selain itu terdapat kesan penempatan sementara seperti telaga, besi paip, tempat berkumpul, sebuah pondok kecil dan barang-barang seperti pinggan mangkuk yang menunjukkan kehadiran  wanita dalam jumlah yang ramai,” katanya kepada pemberita di sini Khamis lepas.

Surina berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa terowong tersebut digali oleh mereka yang berpengalaman dalam menghasilkan terowong berdasarkan hasil kerja yang tersusun, kemas dan teratur.

“Walaupun tiada tanda-tanda bahawa terowong ini digunakan untuk tujuan penyeludupan, pihak AKSEM akan terus melakukan pemantauan berikutan kedudukanya strategik iaitu berdekatan dengan sungai dan tidak jauh dari  sempadan,” katanya.  – Bernama