Polis Selangor tumpas kumpulan ‘The Mask Man’

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat (kanan) menunjukkan barang kes samun kumpulan ‘Ther Mask Man’ yang dirampas ketika sidang media di IPK Selangor, Khamis lepas. • Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya  menumpaskan kumpulan   samun ‘The Mask Man’, yang memakai topeng karakter ‘Vendetta’ ketika melakukan jenayah, sekali gus menyelesaikan 48 kes samun  di tiga  negeri, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya turut menahan enam lelaki  yang dipercayai ahli kumpulan itu berusia   antara 27 hingga 31 tahun, menerusi   beberapa tangkapan berasingan di Klang, Puchong, Selayang dan Shah Alam dalam tempoh 24 jam.

“Kumpulan ini menyasarkan pintu atau pagar rumah yang tidak ditutup sebelum suspek memanjat dan memasuki rumah tersebut dengan memakai topeng karakter ‘Vendetta’ serta mengacukan pistol atau parang.

“Ahli kumpulan ini sangat berbahaya  kerana sanggup mencederakan mangsa selain  sangat licik apabila menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk mengelak dikesan polis semasa melakukan jenayah,” katanya dalam sidang media di sini Khamis lepas.

Ahmad Fadzil berkata, melalui tangkapan itu pihaknya berjaya merampas  pelbagai barangan termasuk  sepucuk pistol jenis Taurus buatan Brazil, 16 peluru hidup, beberapa senjata tajam seperti parang  serta   sembilan buah kereta, termasuk sebuah daripadanya dilaporkan hilang di Klang.

Beliau berkata, dengan tangkapan ahli kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 40 kes samun di sekitar Selangor, enam di Kuala Lumpur serta dua di Negeri Sembilan, membabitkan kerugian lebih RM1.5 juta.

Tambahnya, polis turut menyiasat sekiranya masih ada saki baki  ahli kumpulan itu.

Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau itu direman dua hari sehingga hari Khamis lepas untuk siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – Bernama