Hong Leong akan sediakan bantuan bersasar tambahan

BANK itu akan menilai semula kedudukan kewangan pelanggan sebelum tamat tempoh enam bulan tersebut, bagi menentukan bantuan tambahan untuk mereka yang memerlukan.

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank akan menawarkan bantuan bersasar tambahan kepada pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk memulakan kembali bayaran sedia ada menjelang Oktober 2020, melalui Pelan Bantuan Pembayaran bank tersebut.

Menurut bank itu, pelan tersebut menggariskan bantuan pembayaran bersasar kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdasarkan kepada situasi masing-masing

Kedua-dua bank itu menggalakkan pelanggan untuk menghubungi mereka sekarang bagi merancang langkah pemulihan lebih awal, dan sebelum 1 Oktober 2020.

Pelan bantuan tersebut termasuk penangguhan pembayaran selama tiga bulan, berdasarkan terma moratorium semasa, kepada peminjam yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19.

Bagi pelanggan yang mengalami pengurangan pendapatan disebabkan pandemik, bank itu akan melanjutkan pengurangan jumlah bayaran selaras kepada bayaran pinjaman/pembiayaan untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober 2020.

Bank itu akan menilai semula kedudukan kewangan pelanggan sebelum tamat tempoh enam bulan tersebut, bagi menentukan bantuan tambahan untuk mereka yang memerlukan.

Bagi maklumat lebih lanjut mengenai Pelan Bantuan Pembayaran HLB boleh layari www.hlb.com.my/relief. – Bernama