Mah Sing teroka peluang dalam penjagaan kesihatan

MAH Sing Group meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam penjagaan kesihatan menerusi cabang pembuatan plastik, Mah Sing Plastics Industries Sdn Bhd (MSPI).

PELABUHAN KLANG: Pemaju hartanah Mah Sing Group Bhd meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam penjagaan kesihatan menerusi cabang pembuatan plastiknya Mah Sing Plastics Industries Sdn Bhd (MSPI).

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini MSPI telah menggunakan kaedah untuk memproses plastik dikitar semula menjadi palet berkualiti agar lebih mesra alam dan ini mencerminkan komitmen syarikat untuk mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula bagi ekosistem yang lestari.

“Ketika ini, kami masih berada di peringkat awal perancangan. Bagaimanapun, kami teruja untuk meneroka bahagian pertumbuhan baharu dalam penjagaan kesihatan.

“Kami mahu mencari peluang dalam pengeluaran produk penjagaan kesihatan. Kami berhasrat untuk memanfaatkan rekod prestasi baik dan kepakaran MSPI sebagai pengeluar plastik di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. 

Sementara itu, Leong berkata, segmen plastik terus memberi sumbangan positif kepada prestasi kumpulan dengan mencatatkan hasil sebanyak RM76.1 juta dan keuntungan operasi RM3.34 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2020.

Bahagian plastik mempunyai pasukan pengurusan berasingan yang menguruskannya sendiri selama bertahun-tahun. Bahagian itu ketika ini tidak memerlukan suntikan perbelanjaan modal daripada syarikat induk.

“Bahagian plastik Mah Sing merangkumi operasi di Malaysia dan Indonesia dan merupakan anak syarikat milik penuh kumpulan, manakala operasi di Indonesia adalah anak syarikat dimiliki 65 peratus dengan senarai pelanggan termasuk Panasonic, Daihatsu, Toyota, Mitsubishi, Nissan, Mercedes Benz, dan Suzuki.

“Kira-kira 40 peratus daripada jualan dan hasil operasi plastik Malaysia disumbang oleh eksport, dengan lima pasaran eksport utama ialah Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina. Kilang di Malaysia menumpukan kepada produk proprietari, terutamanya produk pengendalian  bahan,” katanya.

Menurut laporan tahunan 2019 Mah Sing, MSPI membekalkan produk plastik seperti bekas industri, perabot, topi keledar motorsikal dan palet. – Bernama