AirAsia X catat kerugian bersih RM549.7 juta

BAGI mengurangkan kesan daripada Covid-19, syarikat itu telah merehatkan sementara kumpulan pesawat di bawah Kumpulan AirAsia X.

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM549.7 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih RM43.33 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Hasil susut 21 peratus kepada RM924.09 juta apabila kapasiti tempat duduk dan bilangan penumpang menyusut, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Nadda Buranasiri berkata, persekitaran operasi syarikat diburukkan lagi dengan penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun ini.

“AirAsia X Malaysia mengurangkan kekerapan penerbangan ke semua pasaran dalam beberapa fasa bermula dengan China pada Februari,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi mengurangkan kesan daripada Covid-19, syarikat itu telah merehatkan sementara kumpulan pesawat di bawah Kumpulan AirAsia X, apabila AirAsia X Malaysia menggantung semua penerbangan berjadual bermula 28 Mac dan seterusnya, manakala operasi berjadual AirAsia X Thailand digantung bermula 16 Mac.

Bagaimanapun, AirAsia X mengekalkan sebilangan kecil operasi pesawatnya bagi menyediakan bantuan kepada pihak berkuasa relevan berikutan peningkatan permintaan dalam rantaian bekalan global terhadap barangan penting dan memudahkan penghantaran pulang pelancong.

Mengenai prospek masa depan, syarikat itu yakin permintaan akan meningkat ke arah penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, ia akan kekal berada dalam mod tidak aktif kerana prospek menyambung semula penerbangan berjadual bergantung kepada pemulihan permintaan perjalanan udara antarabangsa pada bulan-bulan akan datang dan bila kawalan sempadan serta sekatan perjalanan dilonggarkan.  – Bernama