17 maut dalam letupan bom kereta

PULI ALAM: Sekurang-kurangnya 17 orang maut selepas sebuah bom kereta meletup di Afghanistan ketika orang ramai sibuk membeli belah bagi persiapan menyambut Aidiladha semalam.

Doktor pakar di bandar Puli Alam, Sediqullah, berkata 17 mayat dan 21 mangsa yang tercedera dibawa ke hospital selepas kejadian itu.

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan tragedi itu yang berlaku ketika pengisytiharan gencatan senjata selama tiga hari antara Taliban dan Afghanistan masih berkuatkuasa.

Jurucakap Gabenor Logar, Dedar Lawang, memberitahu AFP bahawa ia adalah perbuatan pengebom bunuh diri menggunakan sebuah kereta di tempat yang sesak ketika orang ramai membeli belah sempena Aidiladha,” katanya.

Menurut seorang pelajar, Jamshed Ahmad, yang berada di tempat kejadian, letupan bom itu berlaku berdekatan pejabat gabebor

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Afghanistan, Tariq Arian, mengecam serangan yang menyasarkan orang awam itu.

“Kumpulan pengganas ini sekali lagi menyerang pada malam Aidiladha sehingga menyebabkan banyak nyawa terkorban,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata letupan itu tidak ada kena mengena dengan kumpulan pemberontak terbabit.

Untuk rekod, kerajaan Taliban dan Afghanistan bersetuju mematuhi gencatan senjata selama tiga hari bermula semalam, iaitu hari pertama sambutan Aidiladha. – AFP