Jemaah jalani wukuf dalam norma baharu

UMAT Islam berwukuf di Arafah sebagai sebahagian rukun dalam mengerjakan ibadah haji di Mekah, Arab Saudi. • Foto AFP

ARAB SAUDI: Pengalaman wukuf di Arafah tahun ini cukup berbeza.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta umat Islam berpakaian ihram serba putih membanjiri Padang Arafah untuk berwukuf bagi melengkapkan ibadah haji.

Kali ini, hanya sebilangan kecil jemaah haji sahaja dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam menunaikan rukun Islam kelima itu.

Pemerintah Arab Saudi belum mengeluarkan angka tepat bagi jumlah jemaah haji tahun ini, namun menjangkakan kira-kira hanya antara 1,000 hingga 10,000 jemaah sahaja yang turut serta.

Kesemua jemaah haji tahun ini merupakan penduduk atau warganegara Arab Saudi.

Turut bertuah, lapan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu yang terpilih dalam kalangan jemaah yang dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini. 

Arab Saudi turut mengumumkan seorang pegawai kesihatan ditugaskan untuk memantau 50 jemaah.

Bagi memberi lebih jaminan, pemerintah mewajibkan pemakaian gelang yang dihubungkan dengan telefon mudah alih, memantau pergerakan setiap jemaah.

Menurut laporan AFP, individu yang menunaikan haji tahun ini bergerak dalam kumpulan 20 orang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk ujian Covid-19, kuarantin dan penjarakan sosial.-AFP