PSG mampu lakar kejayaan treble

CERIA… Pemain Paris Saint-Germain meraikan jaringan ketika menewaskan Saint-Etienne, Sabtu lalu.

PARIS Saint-Germain mungkin mampu mengesahkan satu lagi kejayaan treble saingan domestik apabila berdepan Lyon pada final Piala Liga Perancis, awal pagi hari ini.

Laluan ke perlawanan itu turut dibayangi kecederaan pergelangan kaki Kylian Mbappe.

Bintang yang memenangi Piala Dunia mengalami kecederaan itu pada aksi final Piala Perancis berdepan Saint-Etienne, Sabtu lalu dalam perlawanan kompetitif pertama di Perancis sejak penangguhan liga kerana pandemik Covid-19 pada Mac lalu.

Mbappe mengalami kecederaan kaki kanan selepas terjahan keras pemain Saint-Etienne, Loic Perrin dan hampir pasti terlepas perlawanan yang diambil kira pemilik kelab selain berdepan saingan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atalanta pada 13 Ogos.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel mengakui ia mungkin memerlukan “keajaiban” bagi pemain berusia 21 tahun itu untuk pulih pada masanya bagi perlawanan di Lisbon.

Angel Di Maria terpaksa diketepikan pada perlawanan itu kerana penggantungan dan ditanya mengenai harapan bagi Mbappe, Tuchel berkata : “Ya, sentiasa, tetapi ia mungkin sukar. Kami menghitung setiap hari untuk berlaku sebarang keajaiban.”

PSG ditabalkan kejuaraan Ligue 1 kali ketiga berturut-turut selepas berada di kedudukan teratas carta apabila musim ditamatkan pada April lalu dengan baki 10 perlawanan kerana kebimbangan mengenai krisis kesihatan.

Mereka kembali memenangi Piala Perancis kelima dalam tempoh enam tahun selepas menewaskan Saint-Etienne 1-0 menerusi jaringan Neymar.

Perlawanan berkenaan dilangsungkan di hadapan 2,800 penonton di dalam Stade de France yang mempunyai 80,000 tempat duduk berikutan larangan perhimpunan ramai.

Perlawanan hari ini berdepan Lyon dijangka berlangsung hampir sama di hadapan sejumlah terhad peminat.