Bandar Raya Kuching dibangun semula

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan semula sebahagian kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) ke arah bandar raya moden dalam tempoh lima tahun.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, program pembangunan tersebut dibangunkan di bawah pelan induk jangka panjang dengan kerjasama antara pihak bandar raya dan pihak swasta.

“Banyak kawasan di MBKS dan DBKU yang boleh dibangunkan tanpa menjejaskan kawasan tradisi dan bangunan bersejarah yang membolehkan kita mempunyai bandar raya moden yang diberi nafas baru.

“Umpamanya kita akan bangunkan sebahagian daripada Padungan tetapi ia tidak membabitkan bangunan lama seperti di Jalan Padungan dan Jalan Abell.

“Tetapi tempat lain harus dilihat semula melalui pelan induk ini yang mana akan memberikan kemudahan moden seperti utiliti, pengangkutan, pejabat komersial dan pusat komersial serta banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Ulang Tahun Ke-32 Bandar raya Kuching di Dataran Majlis MBKS di sini, semalam.

Menurutnya, ia juga termasuk pembangunan untuk sebahagian DBKU yang akan dibangunkan semula melalui pelan induk yang secara prinsipnya telah dipersetujui oleh Kerajaan Sarawak.

“Bagi kawasan DBKU, antaranya adalah sebahagian kawasan Haji Taha dan Jalan P.Ramlee selain sekarang ini kita mempunyai Hikmah Exchange.

“Manakala mungkin sebahagian bangunan usang di kawasan berkenaan akan kita bangunkan semula seperti pusat komersial untuk lebih menarik minat orang luar datang ke Kuching,” jelasnya.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata, pelan induk tersebut juga merangkumi mengubah kawasan-kawasan terlibat untuk lebih strategik sebagai tempat komersial moden dengan kemudahan pengangkutan turut dinait taraf dan dilalui pengangkutan awam termasuk Transit Aliran Autonomi (ART).

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng dan Datuk Bandar DBKU Datu Junaidi Reduan.

Oleh Zarina Abdullah