Abang Jo rasmikan tiga kawasan MBKS

TUNJUK MINAT… Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melihat galeri foto dan artifak sejarah pembangunan bandar raya Kuching semasa melawat ke tapak pameran selepas Menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-32 Bandar Raya Kuching di MBKS Square, Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Bersempena sambutan ulang tahun ke-32 Bandar Raya Kuching kali ini, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut merasmikan New Norm Park, Galeri Gambar Augmented Reality (AR) dan Perhentian Bus Kontainer.

Ketiga-tiga kawasan ini telah diwujudkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) sebagai kemudahan untuk dinikmati penduduk Kuching bersama.

New Norm Park yang terletak di Taman Tai Chi MBKS di sini diwujudkan sebagai satu penghargaan dan penghormatan kepada petugas barisan hadapan atas sumbangan mereka dalam memerangi wabak Covid-19.

Taman itu juga sebagai peringatan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) untuk mengekang penyebaran virus dan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jarak fizikal pasca-MCO di ruang awam. 

Bagi konsep rekaan taman itu, terdapat Grid Jarak Sosial iaitu Grid 2m x 2m untuk mendorong jarak sosial.

Cat warna biru pada lantai sebagai peringatan pentingnya memakai topeng muka dan alat pelindung diri (PPE) dan dilengkapk dengan batang pengukuh yang dikimpal sebagai sangkar yang membawa makna pengasingan semasa PKP (lockdown) dan sebagai tempat perlindungan serta selamat.

Palang merah yang berada di taman tersebut merupakan simbol perlindungan dan bantuan perubatan yang dilukis pada paksi tengah serta digunakan sebagai ruang peredaran perlindungan.

Reka bentuk taman ini juga menghubungkan persekitaran semulajadi di mana mereka menggunakan tangki minyak (oil drum) terpakai untuk meletakkan tumbuhan sebagai peringatan kepada orang awam untuk sentiasa berhubung dan mempunyai rasa hormat dengan alam sekitar.

Terdapat juga lingkaran kuning yang mengelilingi taman tersebut di mana ia melambangkan harapan dan positif.

Bagi Perhentian Bas Kontainer pula ia merupakan sebuah perhentian bas yang dibina dengan konsep 3R – Kurangkan, Kitar Semula dan Guna semula.

Ia adalah untuk mengurangkan pembaziran daripada sektor pembinaan iaitu komponen perhentian bas itu dipasang semula daripada kontena dan digunakan semula sebagai perabot dan bumbung.