Bandar pintar tarik pelabur asing

JAWAB SOALAN… Abang Johari menjawab soalan para wartawan selepasMenghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-32Bandar Raya Kuching di Dataran MBKS, Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Pembangunan semula dan transformasi Bandar raya Kuching menjadi bandar moden dan pintar akan menarik minat ramai pelaburan asing, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, malah ada syarikat dari Jepun sudah menyatakan minat untuk memperluaskan operasi mereka di Zon Perindustrian Bebas Samajaya melibatkan pelaburan RM20 bilion yang mana sudah tentu akan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Kita kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) fokus, komited serta tahu betapa pentingnya untuk kita mewujudkan bandar raya moden di negeri ini terutamanya di Kuching.

“Dalam kita mewujudkan bandar pintar ini, terdapat beberapa komponen tertentu dan penting di dalam program transformasi kita seperti pembangunan infrastruktur asas, prasarana, pengangkutan awam, pengurusan sisa pepejal, perumahan mampu milik, tadbir urus dan banyak lagi.

“Jadi apa yang penting adalah budaya yang ada di Sarawak amnya Kuching kita mesti pertahankan terutamanya perpaduan yang kukuh, jadi apabila membangunkan Kuching, kita mesti ada unsur-unsur budaya tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-32 Bandar raya Kuching di Dataran MBKS di sini, semalam.

Tambahnya, komponen lain yang penting bagi bandar pintar adalah persekitaran lestari yang mempunyai ruang untuk acara sukan dan rekreasi yang akan memberi ruang kepada orang untuk berinteraksi selain menyediakan persekitaran yang selamat untuk warganya. 

Bercakap mengenai sambutan tersebut, Abang Johari berkata, Sarawak bertuah kerana selama 32 tahun, Kuching mengalami banyak perubahan dengan begitu pantas termasuk pembangunan perumahan, pusat komersial dan tempat rekreasi.

“Dan pembangunan ini bukan sahaja di kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) tetapi juga sehingga ke Padawan yang turut mendapat kesannya,” ujarnya.

Beliau berkata, dari sudut pembangunan ekonomi digital, Sarawak sudah mendahului negeri lain di Malaysia dan negeri tersebut merujuk kepada kerajaan negeri untuk panduan kearah tersebut.

“Apa yang penting adalah kita sebagai kerajaan negeri harus mempunyai visi serta tahu bagaimana untuk mentransformasikan bandar kita kepada bandar moden.

“Dengan adanya semua ini, sudah tentu ia akan akan memberikan asas untuk ekonomi kita bergerak khasnnya sektor perkhidmatan and pelancongan,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng dan Datuk Bandar DBKU, Datu Junaidi Reduan.

Oleh Zarina Abdullah