JHEV ATM lakukan lawatan amal

KENANGAN…Persatuan Veteran yang bernaung di bawah JHEV ATM Cawangan Sarawak mengadakan aktiviti lawatan ke rumah veteran.

KUCHING: Persatuan Veteran yang bernaung di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Sarawak telah mengadakan aktiviti lawatan ke rumah veteran Orang kurang upaya (OKU) atau Veteran Kurang Upaya (VKU), pesakit, balu, penerima pingat keberanian dan perkuburan veteran.

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Sarawak telah membuat lawatan sempena Hari Pahlawan yang mana sambutannya pada 31 Julai setiap tahun.

JHEV ATM dalam satu kenyataan berkata, antara persatuan yang terlibat melaksanakan lawatan tersebut adalah Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) bersama Lt Jen (B) Datuk Stephen Mundaw telah melawat kediaman Datuk Awang Raweng di Sri Aman. Datuk Awang Raweng adalah penerima pingat keberanian George Cross.

“Selain itu, Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia (PERIM) yang diketuai oleh Presidennya Kapt (B) Narayanan, Timbalan Presiden PW 2 (U) Rajendran dan Kol (B) Ratnam telah mengunjungi beberapa kediaman balu tentera diantaranya Puan Fatima balu kepada PW 1(U) Govindasamy di Kampung Pridan dan Puan Munen, balu kepada Spr Lexamanan di Kampung Riih.

“Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Tasik Biru diketuai oleh Jidokson telah mengunjungi kubur RJR Lemon@Oman yang telah terkorban dalam pertempuran Op Gopeng tahun 1980. Turut dikunjungi adalah perkuburan Penerima pingat keberanian PGB Kpl Poul Nyopis,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, menurut kenyataan, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Limbang diketuai oleh Adeeputera telah melaksanakan lawatan ke lima rumah balu veteran dan dua rumah veteran sakit.

“Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kapit diketuai oleh PW 2 (B) Martin Bilun telah mengunjungi rumah veteran perang iaitu Rjr Ladong Sabut. Rjr Ladong pernah terlibat dalam konfrantasi Malaysia dan Indonesia.

“‌Grup Veteran Bekas 10 RRD diketuai oleh Lt Kol (B) Monday Juhit telah melaksanakan lawatan kebajikan ke rumah veteran kurang upaya (VKU) Jack Nyarai di Kampung Remind, Serian,” katanya.

Menurut JHEV ATM, ‌selain daripada mengisi aktiviti sempena Hari Pahlawan, aktiviti ini adalah bertujuan sebagai tanda mengenang khidmat bakti veteran ATM tidak kira yang masih hidup, sakit, mahupun yang telah meninggal dunia.

“Jasa dan pengorbanan mereka yang telah gugur sebagai bunga bangsa tetap dikenang hingga selama-lamanya,” ujarnya.

Oleh Cheryl Law