MBKS perkenal aplikasi untuk penduduk

RASMI… Datuk Patinggi Abang JohariTun Openg menekan skrin tablet sambil disaksikan oleh Datuk Bandar DBKU,Datu Junaidi Reduan dan Datuk Bandar MBKS,Datuk Wee Hong Seng semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-32 Banda Raya Kuching di MBKS Square,Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO.

KUCHING: Bagi bergerak sejajar dengan inisiatif ekonomi digital negeri ini, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah memperkenalkan beberapa aplikasi untuk digunakan oleh penduduknya.

Datuk Bandar, MBKS Datuk Wee Hong Seng berkata idea ekonomi digital yang diketengahkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah merevolusikan struktur ekonomi dan industri konvensional Sarawak dalam memacu pertumbuhan dan kemajuan sosioekonomi termasuk digitalisasi Perkhidmatan awam di semua peringkat.

“Antaranya, MBKS telah memperkenalkan i-People Application iaitu sebuah platform digital yang membolehkan interaksi dan komunikasi antara penduduk Kuching dan MBKS.

“Ia termasuk dengan memberikan maklum balas, cadangan, makluman dan pemberitahuan dapat disampaikan dengan mudah kepada kami,” katanya.

Belia berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-32 Bandaraya Kuching di MBKS di sini, semalam.

Beliau menambah, MBKS turut telah melaksanakan Sistem Trafik Pintar digital bagi melancarkan pergerakan lalu lintas ketika berlaku kesesakan terutamanya diwaktu puncak..

“Kami juga telah melaksanakan digitalisasi rancangan bangunan untuk menjadikan proses perniagaan lebih efisien, Augmented Reality (AR) di MBKS Pictorial Gallery di mana pengunjung dapat menikmati sejarah indah Bandaraya Kuching melalui perspektif yang berbeza.

“Selain itu, kami juga akan terus meningkatkan operasi dengan berasaskan ciri-ciri teknologi yang inovatif untuk digunakan oleh rakyat,” tegasnya.

Wee memberitahu dalam memerangi Covid-19, Aplikasi Qmunity melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama dengan JT Utama Sdn Bhd dan ARx Media Sdn Bhd turut diperkenalkan oleh MBKS.

 “Aplikasi ini adalah untuk membantu pihak berkuasa di Sarawak dalam usaha mengesan pergerakan orang untuk mencari jejak kontak, di mana mereka boleh melihat sejarah lokasi  pergerakkan yang kemudianya boleh dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

“Kini aplikasi tersebut mempunyai penguna kira-kira 372,226,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada dan saling bekerjasama ketika menghadapai gelombang kedua Covid-19.

“Setiap orang perlu mematuhi segala prosedur operasi standarad (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bagi menjalani kehidupan dengan norma baharu,” jelasnya.

Oleh Alexandra Lorna