Akademi Main Asal Dayak Bintulu berpotensi dalam pelancongan

ADAT… Kehadiran Majang sebagai tetamu kehormat disambut dengan penuh adat.

BINTULU: Akademi Main Asal Dayak Bintulu mempunyai potensi cerah untuk dibangunkan sebagai salah satu inisiatif bagi menyumbang kepada industri pelancongan di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata, menerusi akademi terbabit akan melahirkan ramai pelatih berbakat khususnya dalam kebudayaan kaum Dayak.

“Usaha sebegini adalah amat baik kerana penganjurannya terutama ngajat bukan sahaja untuk kebudayaan tetapi sebagai salah satu untuk kita saling mengenali antara satu sama lain yang membawa kepada perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Latihan Ngajat Siri Lapan, Pelatih Akademi Main Dayak Bintulu bertempat di Dewan Suarah Bintulu, semalam.

Seramai 64 pelatih berjaya menamatkan latihan ngajat mereka dari akademi terbabit.

Menurut Majang, Kerajaan Sarawak amat menggalakkan usaha seumpama itu untuk mengekalkan identiti dan kebudayaan sesebuah kaum di negeri ini.

“Kerajaan amat menggalakkan program seumpama ini kerana sesebuah bangsa bukan sahaja dikenali dari bahasa malah dapat diketahui dari sudut kebudayaannya,” katanya.

Sehubungan itu, Majang berharap pelatih yang telah tamat dari akademi itu juga dapat mengembangkan bakat bukan sahaja untuk dijadikan tontonan malah akan menjadi tenaga pengajar.

“Salah satu potensi besar yang dapat dilihat adalah apabila kebudayaan ini akan menjadi sumber pendapatan ekonomi sekiranya dimanfaatkan sepenuhnya.”

“Ramai yang datang ke Bintulu ini bukan sahaja untuk mencari rezeki malah ada juga yang ingin melihat kebudayaan dan adat asal penduduk di sini,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak iaitu Edwin Banta.

Turut diadakan majlis penyerahan sijil tamat latihan kepada pelatih Siri Lapan dari akademi berkenaan.

Oleh Ellie Edward