Permuafakatan kunci pembangunan Sarikei

SERAH… Datu Len Talif Salleh menyerahkan parang kepada tukang sembelih lembu sebagai simbolik perasmian Majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei 2020 di Masjid Al-Muttaqin, pagi semalam.

SARIKEI: Pemuafakatan dikalangan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan faktor penting untuk membangunkan bahagian Sarikei, kata Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.

Katanya, kerjasama baik antara pemimpin GPS di bahagian ini dapat memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Hubungan baik antara pemimpin itu juga mampu menyelesaikan masalah rakyat dari peringkat akar umbi.

“Saya dan wakil rakyat kita disini iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab sentiasa berbincang bagi mengenalpasti usaha yang perlu ditambah baik untuk kesejahteraan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita sebelum menghadiri Majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei 2020, pagi semalam.

Dalam pada itu, Datu Len yang juga ADUN N41 Kuala Rajang berkata, beliau berharap kawasan Sarikei kini di bawah DAP kembali ke pangkuan GPS suatu hari nanti agar pembangunan yang dirancang lebih mudah dilaksanakan.

“Pembangunan pesat yang berlaku di Sarikei ketika ini membuktikan kerjasama erat antara pemimpinnya yang sentiasa bersatu hati.

“Kerajaan tetap akan meneruskan agenda pembangunan dan hasrat tersebut memerlukan sokongan padu rakyat.

“Saya juga mengharapkan penduduk dan pemimpin peringkat akar umbi sentiasa bekerjasama kerana ini akan memudahkan perancangan kita,” ujarnya.

Sementara itu, di Majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei 2020 yang dijalankan di Masjid Al-Muttaqin, Datu Len telah menyumbangkan sebanyak 19 ekor lembu, manakala ADUN Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyumbangkan 5 ekor lembu dan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab menyumbangkan sebanyak 6 ekor lembu.

Oleh Earl Anek