Penumpang kapal tunda terperangkap

OPERASI SAR… Anggotan bomba diketuai oleh Azman yang terlibat dalam operasi.

MUKAH: Seorang penumpang dipercayai terperangkap selepas sebuah  kapal penunda ‘tugboat’ karam di Kuala Igan dekat sini, petang semalam.

Pihak  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mukah bergegas ke tempat lokasi setelah menerima laporan kejadian pada  3.20 petang.

 Lokasi kejadian adalah berada anggaran tiga hingga empat batu nautika dari pantai Kuala Igan dan ia melibatkan seorang mangsa (penumpang kapal ‘tugboat’) manakala pemandu bot berjaya menyelamatkan diri.

Setiba di lokasi pihak bomba yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah , PPgB Azman Hanapis terus  membuat `water surface searching’ di sekitar kawasan bot yang karam.

Menurut sumber,  tiang Kapal ‘tugboat’ yang karam berkenaan kelihatan dengan  tongkang  yang ditunda turut masih berada di lokasi.

“Berdasarkan maklumat bekas pemilik bot tersebut (pihak ke-3), beliau menerima panggilan daripada juragan kapal melalui telefon.

“Kejadian karam berlaku sekitar 1.00 petang  dan dilaporkan terdapat seorang mangsa terperangkap,” ujar  Azman.

Bomba cuba mengesan  juragan yang dikatakan menghubungi pihak ketiga  itu dan  operasi ditangguhkan pada  6.30 petang dengan nasib mangsa  yang dikatakan terperangkap dalam ‘tugboat’  masih belum diketahui.