Tuntutan RM10 juta, Haniza bersedia

HANIZA MOHD TALHA

IPOH: Bekas Ketua Wanita PKR Haniza Mohd Talha yakin tidak ada tindakan boleh diambil terhadap beliau dan 18 lagi wakil rakyat PKR yang dikatakan berdepan surat tuntutan RM10 juta daripada parti itu kerana didakwa berpaling tadah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu, tuntutan terbabit juga bersifat ultra vires  iaitu melangkaui bidang kuasa. 

“Saya nampak tindakan tersebut seperti ultra vires  yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan kepada mana-mana warganegara untuk menganggotai mana-mana pertubuhan yang berdaftar.

“Kita akan meneliti apakah saman yang dikenakan dan kita sudah bersedia dengan peguam untuk mengambil tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Korban Persatuan Suri dan Anggota Bomba Wanita Perak Bersama Nation Of Woman (NOW) Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba Meru Raya, di sini semalam.

Haniza yang merupakan Presiden NOW diminta mengulas laporan media Rabu lalu  yang memetik kenyataan Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung bahawa parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada  19 ahli Parlimen dan ADUN  PKR yang keluar parti agar  membayar pampasan RM10 juta masing-masing kepada parti.

Haniza juga berkata, beliau tidak keluar parti tetapi dipecat, selain dakwaan lompat parti adalah  tidak benar kerana beliau merupakan ADUN Bebas.

“Sekiranya saya menganggotai pertubuhan selain Keadilan (PKR), itu (juga) tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Bernama