Covid-19 renggut kemeriahan ‘Pekan Koboi’

KEMERIAHAN Pasar Malam Pekan Siniawan yang dirindui oleh masyarakat luar dan penduduk setempat.

Terletak kira-kira 25 kilometer di pinggir bandar raya Kuching, Pekan Siniawan Bau menyimpan kisahnya tersendiri.

Dikenali sebagai ‘Pekan Koboi’ berikutan struktur binaan bangunan masih tersergam indah dengan deretan kedai kayu lama sering menarik pandangan masyarakat tempatan hinggalah pelancong asing.

Ketika senja menjelma, Pekan Koboi yang terletak di tepi sungai itu ‘hidup’ oleh kemeriahan pasar malam yang diadakan di sepanjang jalan pekan berkenaan.

Panorama senja menjengah ke malam itu merupakan ‘insta-worthy’ kepada mereka yang gemar merakam kenangan kerana pekan itu akan dilimpahi cahaya lampu merah tanglung Cina yang digantung di setiap lorongnya.

Maka ia amat menarik untuk dihidangkan dalam akaun media sosial masing-masing kerana ketika berada di lokasi merasakan sedang berada pada zaman 70-an yang penuh dengan nostalgia.

Namun sejak penularan pandemik Covid-19 pada Mac lalu, Pekan Siniawan sunyi dan hilang kemeriahan kerana acara pasar malam terpaksa dihentikan.

Kata Kapitan Pekan Siniawan, Bong Boon Kah kali pertama pekan itu hilang seri apabila mulai ditutup pada 18 Mac hingga 24 Jun lalu iaitu hampir tiga bulan.

Penjaja terpaksa akur dengan arahan penutupan itu kata Bong walaupun mereka kehilangan punca pendapatan masing-masing.

Kemudiannya bermula 25 Jun, Bong memberitahu Pekan Koboi itu kembali dihidupkan dengan hampir 70 peratus sosioekonomi setempat dirancakkan.

Cerah pagi tidak sampai ke petang hari umpamanya nasib seramai 80 penjaja di pekan koboi itu setelah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Siniawan membuat keputusan untuk menutup semula pekan berkenaan untuk kali kedua bermula 24 Julai lalu berikutan penularan pandemik Covid-19 gelombang kedua kebelakangan ini.

Kebimbangan atas rantaian pandemik Covid-19 yang belum berjaya dihapuskan, penutupan sekali lagi pekan itu diharapkan tidak menjadi alasan pekan bersejarah lebih 150 tahun itu dilupakan oleh orang ramai.

Pernah mendapat perhatian dari Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan sekitar tahun 2017 yang merancang untuk menjadikan Pekan Siniawan itu sebagai tapak warisan baharu negeri ini.

Malah tahun 2019 lalu, Pekan Siniwan telah dikunjungi oleh bintang aksi terkenal Hollywood, Steven Seagal yang menyatakan hasrat mempertimbangkan untuk membuat penggambaran filemnya akan datang di Pekan Siniawan yang terkenal oleh kerana pasar malamnya yang unik.

Terkini, awal Julai lalu Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri melawat Pekan Siniawan bersama rombingan kementeriannya bagi mengenal pasti potensi pekan koboi itu sebagai destinasi pelancongan negeri.

Bagi Dania, 27, yang berasal dari Petra Jaya, sebagai masyarakat luar keinginnannya untuk kembali mengunjungi pasar malam pekan Siniawan itu belum tercapai sejak Mac lalu.

“Suasana berada di pekan Siniawan dengan makanan di pasar malamnya amat dirindui,” ujarnya sambil berharap lekukan gelombang kedua pandemik Covid-19 di daerah Kuching dan Samarahan berjaya diratakan sekali lagi agar kehidupan kembali normal dan dapat mengunjungi destinasi-destinasi menarik yang telah ditutup oleh serangan wabak berkenaan.

Oleh Diyana Samsuddin