Ditangguh 1 Oktober depan

TERIMA KASIH… Awang Tengah menyampaikan sumbangan ibadah korban Jabatan Imigresen Bahagian Limbang kepada keluarga kakitangan jabatan berkenaan.

LIMBANG: Peniaga di Daerah Limbang dan Lawas tidak ada justifikasi menaikkan harga barangan jualan kerana negara Brunei telah menangguhkan pelaksanaan caj keluar dan masuk negara Brunei.

Pada masa yang sama, Malaysia meneruskan rundingan dan perbincangan bersama dengan negara Brunei selepas Perintah Bayaran Keluar dan Masuk 2020 yang sepatutnya dilaksanakan negara jiran itu semalam ditangguhkan pada 1 Oktober depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut berterima kasih kepada negara Brunei kerana bersetuju menangguhkan pelaksanaan Perintah Bayaran Keluar dan Masuk 2020 seperti yang dikeluarkan Melalui Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Brunei sebelum ini.

“Arahan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk 2020 oleh negara Brunei itu sepatutnya dilaksanakan semalam tetapi ditangguhkan pada 1 Oktober depan.

“Penangguhan ini juga membolehkan rundingan dalaman dan perbincangan bersama kerajaan Malaysia diteruskan untuk menilai dan meneliti perkara yang saya bangkitkan melalui surat yang saya tulis sebelum ini iaitu pada 20 Julai lepas kepada negara Brunei,” katanya pada sidang media ketika lawatan kerja ke daerah Limbang dan Lawas semalam.

Turut hadir, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan ketua-ketua jabatan lainnya.

Seterusnya beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, Malaysia khususnya Sarawak amat menghargai tali persahabatan dan hubungan rapat diantara kedua-dua negara beriiran.

“Kita di Sarawak sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada negara Brunei dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.

“Malahan saya telah menerima surat daripada Datuk Seri Setia Erywan pada 30 Julai lepas yang menyatakan tentang keputusan Brunei yang menangguhkan perintah pembayaran pada surat tersebut,”tambahnya.

Sementara itu, Awang Tengah juga sempat menghadiri majlis penyerahan daging ibadah korban Jabatan Imigresen Bahagian Limbang yang diadakan di Pos Sempadan Imigresen Pandaruan hari ini.

Terdahulu Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Brunei pada kenyataannya sebelum ini berkata, caj ini akan dikenakan kepada semua warganegara termasuk warganegara Brunei Darussalam yang hendak keluar dari atau masuk ke Negara Brunei

Darussalam melalui pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan ataupun berjalan kaki (pedestrian) dengan kadar caj sebanyak BND3.00 seorang bagi setiap satu hala perjalanan.

Manakala bagi perjalanan ulang-alik ke Miri, Sarawak akan dikenakan BND6.00 setiap orang.

Oleh Adeng Edrus