PSG raih gelaran treble lagi

RAIKAN… Pemain Paris Saint-Germain meraikan kejayaan menumpaskan Lyon dengan penentuan penalti sekali gus meraih gelaran treble domestik dalam perlawanan akhir Piala Liga Perancis awal pagi kelmarin.

PABLO Sarabia menjaringkan gol kemenangan dalam penentuan sepakan penalti untuk membantu Paris Saint-Germain (PSG) menumpaskan Lyon dalam perlawanan akhir Piala Liga Perancis awal pagi kelmarin bagi membolehkan mereka meraih gelaran treble domestik.

Pemain kelahiran Sepanyol itu menyelesaikan tugasnya selepas Keylor Navas berjaya menyelamatkan sepakan Bertrand Traore dan membolehkan PSG menang 6-5 dalam penentuan penalti berkenaan selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga masa tambahan.

Kejayaan itu hadir selepas seminggu mereka menumpaskan Saint-Etienne dalam perlawanan akhir Piala Perancis, aksi sulung kompetitif pertama di negara berkenaan sejak penularan wabak Covid-19.

Sebelum ini mereka ditabalkan sebagai juara Ligue 1 berdasarkan kedudukan terkini sebelum saingan ditamatkan April lalu walaupun masih berbaki 10 perlawanan disebabkan krisis kesihatan.

PSG beraksi tanpa bintang Perancis, Kylian Mbappe yang mengalami kecederaan, manakala Lyon pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain di hujung masa tambahan selepas pertahanan Brazil, Rafeal dibuang padang kerana mengasari Angel Di Maria.

Mbappe mengalami kecederaan minggu lalu dalam perlawanan akhir Piala Perancis dan dikhabarkan akan terlepas aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Atalanta di Lisbon 12 Ogos ini.

PSG terdesak untuk meraih kejayaan di peringkat Eropah namun berdasarkan aksi hari ini mereka masih lagi perlu memperkemaskan rentak sebelum berdepan aksi Liga Juara-Juara.

“Kami sangat bergelut namun ia sangat indah dapat meraih kemenangan di akhirnya. Kami akan meraikan kejayaan ini dan esok kami akan mula memikirkan mengenai satu lagi perlawanan penting,” kata Marco Verratti.

Kelab yang dimiliki oleh syarikat pelaburan sukan kerajaan Qatar itu meraih gelaran treble buat kali keempat dalam tempoh enam tahun namun saingan Piala Liga tidak akan disambung musim depan.