Guardiola ‘hilang kaki’ penting

DOMENEC Torrent (kanan) akan sertai juara Brazil dan Amerika Selatan, Flamengo.

DOMENEC Torrent, yang sudah lama menjadi pembantu Pep Guardiola, mengumumkan bahawa beliau sudah menandatangani kontrak dengan penyandang juara Brazil dan Amerika Selatan, Flamengo.

Torrent, 58, akan mengambil alih kelab Rio de Janeiro itu daripada Jorge Jesus, yang baru-baru ini mengumumkan berhijrah ke kelab Portugal, Benfica.

“Saya sangat gembira menjadi sebahagian daripada negara hebat ini. Kami akan cuba untuk memburu kejuaraan,” kata Torrent dalam video di Instagram dengan memakai jersi Flamengo.

Jesus mengemudi Flamengo dengan meraih lima kejuaraan selepas lebih setahun bersama kelab berkenaan.

Torrent dikenali dengan menggunakan cara menyerang yang sama.

Beliau akan tiba di Flamengo dari New York City FC, di mana dia menjadi ketua jurulatih dalam tempoh setahun setengah.

Beliau menjadi pembantu kepada Guardioal dalam tempoh sedekad di Barcelona, Bayern Munich dan Manchester City.

Kontraknya akan berakhir hingga 2021.

Flamengo berkata, beliau akan tiba dan mengemudi pasukan menjelang saingan pembukaan musim pada 9 Ogos menentang Atletico Miniero di Stadium Maracana.

Saingan liga terpaksa bermula lewat tiga bulan berikutan pandemik Covid-19, di mana ia meragut nyawa 91,000 orang jumlah paling banyak berbanding negara lain kecuali Amerika Syarikat.