Petronas iktiraf hak Sarawak

DATUK Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

KUCHING: Sarawak mengalu-alukan tindakan Petronas menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Menteri Undang-Undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pembantu Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mengakui tindakan syarikat minyak gergasi itu adalah petanda positif kepada langkah Sarawak selama ini.

“Ini menandakan bahawa Petronas mengiktiraf hak Sarawak dibawah Perlembagaan untuk mengenakan Cukai Jualan terhadap minyak mentah yang dikeluarkan.

“Dan ini juga memberi indikasi jelas hubungan baik, kerjasama dan kefahaman Petronas ke atas keperluan dan hak kita,” katanya.

Sharifah Hasidah berkata demikian ketika dihubungi pemberita untuk mengulas isu Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum, semalam.

“Yang penting, Petronas mengiktiraf hak dan undang undang negeri Sarawak dan ini akan kita terus pertahankan,” tegasnya lagi.

Semalam juga Kerajaan Sarawak, pada masa sama juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai cukai jualan negeri (SST).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Penasihat Undang-Undang Negeri Dato Sri J.C. Fong yang mewakili kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan negeri Sarawak mengesahkan rayuan itu telah ditarik balik.

Prosiding mahkamah itu dijalankan menerusi persidangan video.

Oleh Diyana Samsuddin