Bayaran BKSS ikut data terkini BSH

KUCHING: Seramai 115,450 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sebelum ini berada di bawa senarai kategori isi rumah B40 BHS 2019 telah disenaraikan semula di bawah kategori bujang B40 BSH 2020 tidak lagi layak menerima bantuan bulanan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Unit Perancang Ekonomi Negeri Sarawak berkata, senarai itu yang berkuat kuasa bermula bulan lepas adalah berdasarkan senarai BSH 2020 yang dikemasikini oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) Malaysia.

“Terdapat aduan dari sebilangan kecil penerima isi rumah B40 bahawa mereka tidak lagi menerima bantuan BKSS untuk bulan Julai 2020 walaupun mereka telah menerima bantuan B40 BKSS pada bulan April hingga Jun 2020.

“Berdasarkan kemaskini LHDN, sebelum ini bujang B40 tersebut disenaraikan sebagai penerima bantuan BKSS kategori isi rumah B40 dari bulan April hingga Jun 2020.

“Oleh itu, mereka tidak lagi layak untuk menerima bantuan bulanan yang sama di bawah BKSS isi rumah B40 kerana mereka kini telah disenaraikan sebagai penerima kategori bujang B40,” kata kenyataan tersebut, semalam.

Mengulas lanjut, berdasarkan kenyataan BKSS bertarikh 17 Julai lalu, sejumlah 78,123 penerima isi rumah B40 dan 270,863 bujang B40 akan dibayar pada akhir Julai 2020.

“Setakat 1 Ogos lalu, sejumlah 43,481 daripada 78,123  penerima isi rumah berpendapatan sebulan RM4,000 ke bawah telah menerima bayaran sebanyak RM250 yang dikreditkan ke akaun bank masing-masing pada 29 Julai dengan angarna pebelanjaan sebanyak RM10.87 juta.

“Manakala baki 34,642 penerima isi rumah B40 yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran tunai boleh dituntut di Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 7 Ogos 2020,” jelasnya.

Tambah kenyataan itu, bayaran menerusi akaun bank penerima bagi kategori bujang B40 turut dikreditkan pada 29 Julai melibatkan 218,489 daripada 270,863 penerima bujang B40 yang berumur 21 tahun keatas berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

“Selebihnya iatu sejumlah 52,374 penerima bujang B40 yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran tunai boleh dituntut dari BSN mulai 7 Ogos ini.

“Mengenai status pelaksanaan insentif pembayaran tunai BKSS yang lain termasuk insentif bulanan khas untuk kakitangan barisan hadapan yang terlibat dalam COVID-19, terdapat 30,319 aggota telah menerima insentif pembayaran mereka sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh April hingga Julai 2020 dengan sejumlah perbelanjaan berjumlah RM13.5 juta,” jelas kenyataan itu.

Tambahnya, bagi BKSS untuk penjaja dan peniaga kecil, pada 29 Julai lalu sejumlah 28,091 penjaja telah dibayar melalui Sarawak Pay dalam dua bahagian dengan jumlah pembayaran berjumlah RM21,068,250.

“Sementara itu, 16,867 penjaja telah dibayar melalui BSN dalam dua bahagian dengan jumlah pembayaran berjumlah RM12,650,250,” kata kenyataan itu.

Oleh Zarina Abdullah