Masalah hakisan selesai

PANTAU… Datu Len Talif Salleh mengadakan tinjauan ke tanah perkuburan Islam Kampung Belawai, petang kelmarin.

BELAWAI: Masalah hakisan tanah di tanah perkuburan Islam Kampung Belawai kini selesai setelah benteng hakisan di tanah perkuburan tersebut siap dibina baru-baru ini

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh berkata, pembinaan benteng hakisan tanah perkuburan tersebut sepatutnya disiapkan pada 16 Jun lalu.

“Namun demikian ia mengalami sedikit kelewatan untuk disiapkan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas dan wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara.

“Pembinaan benteng hakisan tanah ini menggunakan peruntukan projek Transformasi Bandar (RTP) ADUN Kuala Rajang sebanyak RM300,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual para pemberita semasa mengadakan tinjauan ke tanah perkuburan Islam Kampung Belawai, petang kelmarin.

Terdahulu, isu hakisan ditanah perkuburan ini menjadi isu setempat dikalangan penduduk Kampung Belawai telah mendapat perhatian daripada Len Talif yang kemudiannya bertindak segera menggunakan peruntukan RTP.