KTRDRN mohon kebenaran tubuhkan MPKK

UNTUK ALBUM… Lembat Atau (tengah) dan Brian Langit (duduk, tiga kanan) dan Ketua Rumah Panjang yang lain pada sesi fotografi selepas perjumpaan baru-baru ini.

SIBU: Kelab Tuai Rumah Dipilih Rakyat Ngemah (KTRDRN) merayu agar Kerajaan Sarawak membenarkan kelab tersebut menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Pengerusi KTRDRN Lembat Atau berkata, mereka menghadapi pelbagai kesulitan untuk membawa pembangunan dalam kawasan mereka termasuk membantu para penduduk rumah panjang.

Ini kerana, mereka tidak mempunyai surat lantikan rasmi dari kerajaan.

“Penubuhan MPKK ini diambil kira sekiranya kerajaan negeri masih tidak dapat mencari jalan penyelesaian untuk ketua rumah panjang yang masih belum mempunyai surat pelantikan rasmi.

“Pada masa yang sama kami mahu kerajaan negeri bersikap belas kasihan terhadap penduduk rumah panjang di sini dengan memberikan jumlah pembangunan yang sama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diakui oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau memohon Kerajaan Sarawak untuk memberikan jawapan mengenai status mereka.

“Sekiranya perkhidmatan kami tidak diperlukan, maka kami sedia untuk berundur dengan segera,” katanya.

Lembat berkata, ini adalah antara isu yang dibincangkan dalam perjumpaan kelab yang diadakan baru-baru ini yang dihadiri oleh 25 ketua rumah panjang yang masih belum mempunyai surat lantikan rasmi di daerah Ngemah.

Beliau berkata ketua-ketua rumah panjang berkenaan mewakili 288 pintu dan sekitar 1,600 penghuni rumah panjang.

Mereka juga membincangkan mengenai peraturan baru untuk menubuhkan JKKK dan pertukaran ketua rumah panjang.

Setiausaha kelab Brian Langit mengatakan peraturan baru itu menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk mendaftarkan JKKK mereka dan juga membuka akaun bank kerana mereka memerlukan pengesahan dari pejabat daerah.

“Oleh kerana kami tidak mempunyai surat lantikan rasmi, secara automatik bank tidak akan membenarkan kami membuka akaun untuk JKKK kami.

“Ini satu lagi kesulitan yang harus kita hadapi terutama apabila kita menerima geran projek luar bandar kecil atau bantuan bencana atau bantuan lain dari kerajaan,” katanya.

Oleh Nurzilla Mohamad