Tindakan susulan dilaksana

STATUS kemajuanfasasatu projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sehingga Jun 2020 adalah 32 peratus bagi 11 pakej kerja yang sedang dilaksanakan.

KUALA LUMPUR: Pelan mitigasi dan tindakan susulan yang berterusan sedang dilaksanakan bagi menambahbaik kaedah pelaksanaan projek lebuh raya Pan Borneo yang telah diputuskan sebelum ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tindakan tersebut adalah bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan projek lebuhraya Pan Borneo sebagai pemangkin pembangunan sektor sosioekonomi, perindustrian serta pelaburan di sepanjang jajaran projek tersebut.

“Kerajaan hari ini akan tetap menghormati keputusan kerajaan terdahulu untuk mengubah kaedah pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo. Pada awalnya penamatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) dijangka akan memberi penjimatan kepada kerajaan khususnya tiada keperluan pembayaran yuran PDP.

“Bagaimanapun, perubahan model pelaksanaan tersebut tidak mengambil kira perkara berikut yang sedang ditangani kerajaan,”

Impak akibat perubahan model pelaksanaan merangkumi kesan ke atas pentadbiran projek, perubahan kontrak, kebajikan kakitangan yang terlibat dan keperluan penambahbaikan kapasiti serta kepakaran teknikal sedia ada.

Status kemajuan fasa satu projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sehingga Jun 2020 adalah 32 peratus bagi 11 pakej kerja yang sedang dilaksanakan.

Menurut Fadillah lagi, tiga pakej kerja baharu dan satu pakej kerja melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna yang telah ditamatkan kontrak kini sedang ditender dan dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini.

“Ini menjadikan keseluruhan 15 pakej kerja komited akan diteruskan pelaksanaannya pada Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh kerajaanpersekutuan.

“Pelaksanaan baki 20 pakej kerja fasa satu Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah pula adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan untuk Rancangan Malaysia Ke-12,” tambahnya.

Sementara itu, dua daripada 11 pakej kerja Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak iaitu pakej satu dari Telok Melano ke Sematan yang dibuka pada Januari 2019 dan pakej Kick Off Project (KOP) dari Persimpangan Nyabau ke Bakun sepanjang 43 kilometer yang disiapkan pada Disember 2019.

“Status kemajuan pembinaan sehingga Jun 2020 bagi pakej kerja lain yang kini sedang giat dilaksanakan dengan kemajuan keseluruhan sebanyak 52 peratus,” kata Fadillah. 

Dalam pada itu, kerajaan telah meneliti dan mengambilkira secara mendalam pelbagai faktor serta implikasi yang mungkin terzahir akibat dari cadangan penghapusan tol lebuh raya di negara ini khususnya daripada faktor kewangan semasa yang dihadapi kerajaan.

“Sehubungan itu, hala tuju bagi lebuh raya bertol di Malaysia sedang disemak semula dan memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan untuk mendapat kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.  – Bernama