Untung Sunway Reit susut hampir separuh

KETUA Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng.

KUALA LUMPUR: Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM13.48 juta bagi suku keempat berbanding keuntungan bersih RM178.01 juta pada tempoh sama sebelumnya.

Ini sekali gus menyebabkan keuntungannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 (tahun kewangan 2020) susut hampir separuh.

Ia terutama disebabkan oleh kerugian nilai saksama bersih hartanah pelaburan sebanyak RM41.28 juta yang berlaku pada suku tersebut berbanding keuntungan sebanyak RM107.73 juta pada tempoh yang sama 2019.

Pendapatan hartanah bersih (NPI) pula sebanyak RM77.61 juta, turun kira-kira 30 peratus daripada RM111.18 juta pada suku keempat tahun kewangan 2019, menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

Sementara itu dalam kenyataan media yang dilampirkan bersama dengan makluman kepada Bursa itu, Sunway REIT berkata, prestasi tersebut sebahagian besarnya berikutan gangguan perniagaan susulan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantai pandemik Covid-19 serta sokongan sewa yang diberikan kepada penyewa runcit dan penyewa hotel.

Bagi tahun kewangan 2020, keuntungan bersih Sunway REIT susut kepada RM208.21 juta daripada RM386.37 juta pada tahun kewangan 2019.

Perolehan pula berkurangan kepada RM556.88 juta daripada RM580.30 juta bagi tempoh yang sama, menurut Sunway REIT.

Sunway REIT mencadangkan pengagihan akhir per unit (DPU) 2.38 sen untuk tempoh enam bulan hingga 30 Jun, menjadikan keseluruhan DPU pada 7.33 sen bagi tahun kewangan 2020 (tahun kewangan 2019: 9.59 sen).

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng berkata, syarikat itu menyaksikan pemulihan memberangsangkan bagi jumlah orang yang memasuki pusat-pusat beli-belah sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula.

“Baru-baru ini pasukan pengurusan unit perniagaan juga melancarkan kempen ‘Ke Sana Ke Sini Ke Sunway’, pakej riadah yang terjual semua dalam tempoh dua minggu pelancarannya. Oleh kerana sambutan luar biasa, kempen kedua juga telah dilancarkan iaitu ‘Ke Sana Ke Sini Ke Sunway Lagi’.

“Kempen ini, yang bertujuan untuk mencatatkan lonjakan permintaan jangka pendek dalam kalangan pengguna susulan tempoh sekatan pergerakan, menunjukkan kekuatan sinergi perniagaan dalam ekosistem Sunway City,” katanya.

Mengenai prospek kumpulan itu, beliau berkata Sunway REIT mengekalkan pandangan berhati-hati bagi tahun kewangan berakhir Jun 2021 susulan ketidaktentuan yang menyelubungi pemulihan ekonomi global.

Beliau berkata kumpulan itu akan menumpukan pembangunan kembali segmen perniagaan yang telah terjejas teruk akibat pandemik itu dan pada masa sama memperkukuh lembaran imbangan serta memperluas aliran pendapatan menerusi pemerolehan hasil yang tinggi dan strategi pengurusan modal berhemat. – Bernama