Gaji punca Gibson tarik diri

TARIK DIRIā€¦Gibson Billy.

PAKAR lontaran jarak jauh Sarawak United III (Piala Presiden 2020), Gibson Billy memberitahu, masalah tunggakan gaji yang masih belum dilunas sehingga ke hari ini punca beliau enggan menyertai skuad Sukma 2020.

Anak jati kelahiran Kampung Lunying, Sebuyau itu yang menzahirkan rasa kecewa dengan musibah menimpa dirinya.

Dalam keadaan berbeza rakan-rakan yang lain sudah menerima gaji untuk bulan terakhir (bulan Mei) daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Agak terkilan kerana gaji saya untuk bulan Mei masih belum dilunaskan sehingga ke hari ini. Sedangkan gaji rakan-rakan lain semuanya sudahpun dibayar,” ujar Gibson ketika dihubungi semalam.

Katanya, beliau hairan mengapa masalah ‘terlepas pandang’ ini boleh berlaku sedangkan namanya berada dalam pasukan untuk Sukma 2020.

“Sebagai tuan punya badan…memang saya tidak dapat fokus jika masalah ini tidak diselesaikan.

“Dan keputusan untuk menarik diri dari pasukan Sukma 2020 adalah jalan terbaik,” tambah Gibson lagi.

Katanya, beliau akan cuba menghubungi pegawai badan induk berkenaan bagi mengetahui status berhubung permasalahan yang membelenggu dirinya ketika ini.

“Harap segalanya akan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin dalam tempoh terdekat,” tegas Gibson yang turut menyatakan gaji bulanan beliau sebagai mana termaktub dalam kontrak sebelum ini ialah RM2,500.

Oleh Faizal Bujang