Bangunkan koridor lateks negara di Pantai Timur

PENGERUSI LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran lateks atau susu getah dengan membangunkan kawasan baharu koridor lateks negara di bahagian Pantai Timur Semenanjung.

Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, industri ini perlu beralih ke kawasan baharu seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu berbanding kawasan tumpuan sebelum ini di Johor, Selangor dan Perak.

“Pada pandangan LGM, Pantai Timur Semenanjung sesuai sebagai kawasan baharu koridor lateks negara.

“(Jika dilihat), Malaysia mengeluarkan 45,000 tan lateks atau hanya 10 peratus daripada keperluan yang sebaliknya boleh mencapai sehingga 450,000 tan,” katanya pada program Ruang Bicara di Bernama TV, semalam.

Selain itu, Ahmad Nazlan berkata LGM juga merancang untuk mengalihkan tumpuan penoreh getah kepada lateks yang mempunyai nilai serta mendapat permintaan lebih tinggi di peringkat dunia berbanding getah sekerap yang diusahakan mereka.

Namun, katanya, pada masa sama LGM turut menyedari bahawa penoreh akan menghadapi kesukaran dalam merealisasikan rancangan itu berikutan kekangan dari segi infrastruktur.

“LGM akan melihat semula bagaimana untuk membantu para penoreh supaya kekangan bagi pengeluaran lateks itu dapat dikurangkan.

“Usaha memberi tumpuan terhadap pengeluaran lateks dan bukannya getah ‘cup lump’ (sekerap) dapat membolehkan pekebun kecil secara langsung menikmati kenaikan permintaan produk getah dan seterusnya menangani masalah kemiskinan dalam sektor peladangan getah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata pada separuh pertama tahun ini, nilai eksport industri getah meningkat kepada RM17.8 bilion berbanding RM15 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Malah, walaupun dilanda pandemik Covid-19, industri getah negara secara keseluruhannya telah meningkat berikutan permintaan ketara terhadap sarung tangan getah, katanya.

“Eksport sarung tangan getah bagi tempoh Januari-Jun 2020 telah meningkat 40 peratus kepada RM12 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya.- Bernama