Malaysia Airlines, 3Sixty jalin kerjasama

KETUA Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pengguna Kumpulan Malaysia Airlines Lau Yin May.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd menjalin kerjasama dengan 3Sixty iaitu konsesi dalam pesawat terbesar dunia dengan mempertingkat kemudahan e-runcit Temptations ke tahap seterusnya menerusi penyepaduan program Enrich untuk penumpang kerap syarikat penerbangan itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Malaysia Airlines berkata, Temptations memberi fleksibiliti kepada pelanggan untuk membeli-belah produk bebas cukai secara mudah, selesa selain pilihan pembelian menerusi dalam talian atau dari rumah masing-masing.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pengguna Kumpulan Malaysia Airlines Lau Yin May berkata, inisiatif itu membuktikan dedikasi syarikat penerbangan itu terhadap semua pelanggan dan menjadikan Enrich pusat ganjaran gaya hidup yang bernilai serta program kesetiaan bertaraf dunia.

“Sejajar dengan perubahan dunia dari segi pendapat, sikap dan tabiat yang ketara, kita juga perlu berkembang sebagai sebuah syarikat penerbangan yang mampu terus memberi nilai maksimum untuk semua penumpang,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Bebas Cukai Asia 3Sixty, Lee Hwee Ming berkata, syarikat itu akan terus melabur dalam visi pelbagai saluran dan telah memperkenalkan penambahbaikan seiring dengan perkhidmatan ‘klik dan tebus ganjaran’ untuk Temptations. – Bernama