Sesi libat urus bincang RMKe-12 diteruskan

DATUK Seri Mustapa Mohamed.

KUALA LUMPUR: Sesi libat urus bagi membincangkan penambahbaikan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) membabitkan kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan masih berjalan dan dijangka selesai tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kebanyakan sesi libat urus telah diadakan bersama kerajaan negeri, ahli Parlimen dan badan pemikir bagi mendapatkan input mengenai peruntukan, dasar dan strategi.

“Setelah kita mengadakan libat urus ini, saya dapati ada perkara-perkara yang perlu dilihat semula. Saya tidak ada masalah untuk ahli Parlimen yang ingin meneruskan sesi libat urus ini kerana masa ada lagi. Perkara baharu yang telah saya umumkan adalah mengenai Pendapatan Garis Kemiskinan.

“Kita telah mengadakan libat urus dengan 12 ahli Parlimen dan banyak pandangan bernas telah kita terima untuk merangka dasar yang lebih berkesan mengenai PGK dalam RMKe-12,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Mustapa berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) berhubung sesi libat urus mengenai RMKe-12.

Selain itu, beliau berkata RMKe-12 akan dibentangkan tahun hadapan dan ruang juga diberikan untuk sesi perbahasan berkaitannya di Parlimen.

“RMKe-12 akan dibentangkan pada tahun hadapan dan ada ruang yang cukup besar untuk membahaskannya. Ini bukan perkara yang luar biasa, lagipun kita belum lagi tiba di 2021. RMKe-12 bermula pada 2021. Masalah perbahasan tidak timbul,” katanya.

Sebagai rekod, pembentangan RMKe-12 di Parlimen yang dijadualkan pada 6 Ogos ini ditunda kepada Januari 2021 untuk membolehkan ia dikaji semula susulan kesan ekonomi dunia akibat penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun tarikh yang dijadualkan semula untuk pembentangan RMKe-12 belum ditetapkan lagi.

Sebelum ini dilaporkan, Unit Perancang Ekonomi akan menyusun semula RMKe-12 dengan mengambil kira keadaan ekonomi terkini dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal berada di landasan pembangunan mampan dan inklusif. – Bernama