Sarawak catat tiga kematian akibat Covid-19 setakat ini

ALEXANDRA LORNA

Dua kematian baharu

KUCHING: Sarawak merekodkan dua (2) lagi kematian akibat Covid-19 semalam, menjadikan jumlah mangsa terkorban seramai tiga (3) orang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan dua mangsa ini merupakan ibu dan anak perempuan daripada keluarga yang sama, masing-masing berumur 79 dan 40 tahun.

“Mangsa pertama keluarga ini telah meninggal dunia jam 2.00 pagi pada 18 Mac 2020, manakala mangsa kedua meninggal pada jam 1.00 petang, 21 Mac 2020.

“Seorang lagi ahli keluarga ini masih dalam rawatan di Hospital Umum Sarawak dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Tambah kenyataan itu, pelaporan kes kematian yang pertama akibat Covid-19 daripada keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta yang merawat kes tersebut kerana menunggu keputusan ujian makmal yang telah dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur.

“Justeru, JPBN menyeru semua fasiliti kesihatan dan perubatan swasta agar melaporkan semua kes disyaki dan disahkan Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian yang berhampiran dengan kadar segera agar tindakan kawalan boleh dilakukan,” tegasnya.

Kematian pertama akibat Covid-19 telah dilaporkan pada 17 Mac 2020, iaitu seorang pastor.

Semalam, Sarawak turut mencatatkan pertambahan sepuluh (10) lagi kes baharu Positif Covid-19.

“Kes baharu positif ini telah menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 68 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

“Dua (2) kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu (5), Hospital Bintulu (2). Manakala, seorang telah meninggal dunia di Kuching semasa keputusan ujian pengesahan diperolehi,” jelasnya.

Beliau menambah sebanyak 37 kes baharu Person Under Investigation (PUI) jangkitan COVID-19 turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 751 kes. “Sebanyak 711 kes adalah negatif dan 40 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” ujarnya dalam kenyataan media, semalam.