Empat ‘jalan tikus’ dikenalpasti, kawalan diperketatkan

NUR AIN OTSMAN

BAU: Sebanyak empat ‘jalan tikus’ di Serikin telah berjaya dikenalpasti oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai, berkata rondaan demi rondaan akan terus dilaksanakan di jalan-jalan berkenaan bagi mengekang kemasukan warga asing dari Indonesia.

“Kita tidak dapat nafikan, jenayah rentas sempadan masih berlaku tetapi dengan keanggotaan yang kita ada, saya yakin isu ini dapat dikurangkan,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan ‘jalan tikus’ di Serikin, semalam.

Seramai tiga hingga lima anggota PGA ditempatkan di setiap jalan tikus ini.

“Selain di Serikin, kita juga menjalankan pengawasan sempadan di Tebedu, Telok Melano dan Bunan Gega.

“Keadaan masih terkawal di setiap sempadan,” ujarnya lagi sambil menambah anggota PGA giat mengawasi ‘jalan tikus’ sepanjang dua kilometer di Serikin.

Petugas juga turut membuat rondaan di kawasan berkenaan dengan menggunakan kereta dan berjalan kaki.

“Laluan ‘tikus’ di Serikin ini adalah yang paling aktif dan sebarang kegiatan dan aktiviti penyeludupan turut berlaku di sini.

“PGA sentiasa memikirkan rancangan untuk masa hadapan dan terus meletakkan keutamaan ‘jalan tikus’ ini dari sudut pemantauan,” katanya.

Jelasnya lagi, penambahan bilangan anggota akan dibuat sekiranya berlaku jenayah berat di kawasan ini.

“Tindakan kita akan diambil melalui maklumat risikan, sekiranya berlaku jenayah rentas sempadan yang boleh menggugat negara maka penambahan bilangan anggota akan berlaku,” tegasnya.

Selain anggota PGA, sempadan di Sarawak turut dijaga oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, belum ada berlakunya jenayah rentas sempadan di kawasan ini.