102 isi rumah nikmati bekalan elektrik 24 jam

SEMANGAT PATRIOTISME‚Ķ Dato’ Sri Stephen Rundi bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar dengan mengibarkan Jalur Gemilang di Sebauh semalam.

SEBAUH: Seramai 102 isi rumah dari empat buah rumah panjang di daerah ini kini mendapat manfaat dengan menikmati bekalan elektrik 24 jam daripada Projek SARES.

Menteri Utiliti Sarawak, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pelaksanaan projek Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) itu adalah platform terbaik dalam membantu penduduk luar bandar yang tinggal di luar talian grid elektrik menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam.

“Empat buah rumah panjang yang mempunyai 102 isi rumah yang menerima manfaat daripada projek SARES bernilai RM4.85 juta itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyerahan Hakmilik SARES Sebauh Fasa 4 dan Perasmian Program Merdeka@Komuniti Peringkat Dewan Undangan Negeri N69 Kemena di Rh. Patrick Andin Anak Uli, Sg Serakit, Sebauh, semalam.

Rumah panjang terbabit ialah Rh Lawai Chukai, Sungai Sujan, Rh Nompang, Sungai Sujan, Rh Palos dan Rh Elwin Ugan.

Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena memaklumkan program Merdeka@Komuniti Peringkat DUN N69 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Bintulu bertujuan menerapkan nilai patriostisme dan semangat cintakan negara sebagai asas dalam hidup rakyat Malaysia.

“Program ini juga memberi pemahaman kepada masyarakat bahawa pengibaran Jalur Gemilang adalah simbolik penghormatan kepada Sambutan Bulan Kemerdekaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap masyarakat juga mempunyai peluang memahami, menghayati serta menghargai perjuangan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.

Dalam perkembangan sama beliau turut menyerahkan Kenyalang Goldcard kepada penerima di Kawasan Sebauh.

Hadir sama Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar, Datuk Liwan Lagang dan Menteri Muda Bekalan Air, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.