Tujuh ‘titik panas wabak’ Covid-19

ZARINA ABDULLAH

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti tujuh kawasan titik panas wabak Covid-19 di seluruh Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tempat-tempat tersebut adalah Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Sehubungan itu, saya ingin merayu kepada orang ramai terutamanya rakyat Sarawak untuk mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerjasama orang awam adalah amat penting dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 ini.

“Cuma duduk di rumah, maka kita dapat mengawalnya, jika tidak jangkitan akan tidak terkawal,” katanya.

Beliau berkata, demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Masjlis Keselamatan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

Abang Johari berkata, orang ramai perlu mengikut nasihat pihak berkuasa dengan hanya duduk di rumah serta tidak memandang remeh arahan itu.

Dalam pada itu, Abang Johari mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama mereka untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang penyebaran virus Covid-19. “Kerajaan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada anggota penguatkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua barisan hadapan termasuk kakitangan perubatan dan Pegawai Imigresen atas usaha mereka untuk menguatkuasakan perintah ini,” jelasnya.