Utamakan ciri-ciri keselamatan

SIMBOLIK… Datuk John Sikie melakukan simbolik Majlis Ngentak Rumah Panjang Baharu.

TATAU: Penduduk rumah panjang yang ingin membina baru rumah panjang mereka digesa untuk mengutamakan rumah terbabit memiliki ciri-ciri keselamatan.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, ini penting bagi bagi mengelak berlaku bencana terutamanya kebakaran.

“Setiap rumah panjang baharu dibina harus mempunyai ciri- ciri keselamatan, contohnya mempunyai fire breaker dengan menyusun bata sehingga ke bumbung seperti rumah rumah teres di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ngentak Rumah Panjang Baru, Rumah Tedung Anak Jambu, KM3.5 Jalan Sangan Merit, Tatau.

Menurutnya, walaupun memerlukan kos yang lebih tinggi, ciri-ciri rumah seperti tersebut akan melambat api merebak sekiranya berlaku kebakaran.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus memberitahu penduduk yang ingin membina rumah panjang baharu bolehlah mendapat pinjaman perumahan dari HDC.

“Jumlah pinjaman adalah sebanyak RM30,000 sepintu dan borang boleh didapati di Pejabat Daerah Tatau,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Senator Ahli Dewan Negara Rita anak Insol dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Edwin Banta.

Oleh Ellie Edward