PRK Slim: BN menang besar

TANJUNG MALIM: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu semalam, dengan majoriti 10,945 undi.

Calonnya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, meraih 2,115 undi dan bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini.

Shamsul Ridzuan berkata sebanyak 68.40 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK itu dengan 327 kertas undi ditolak.

Keputusan malam tadi menyaksikan Santharasekaran hilang deposit kerana gagal memperoleh lebih daripada 1/8 jumlah undi yang diterima oleh calon-calon bertanding.

Daftar pemilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim melibatkan 22,749 pemilih biasa, 267 pengundi awal serta 78 orang mengundi secara pos.

Sepanjang proses pengundian dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang, pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib dari BN yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd. Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 selepas PRU14 dan PRK kedua dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19, selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lepas. -Bernama