Bank Rakyat serah zakat perniagaan

PENYAMPAIAN… DATO’ Sri Wan Junaidi mewakili Bank Rakyat menyerahkan replika cek berupa zakat perniagaan dari Bank Rakyat kepada Tabung Baitulmal Sarawak sebanyak RM1.53 juta kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi Tun di Kuching semalam.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima zakat perniagaan sebanyak RM1.53 juta dan RM100,000 daripada Bank Rakyat kepada Tabung Baitulmal Sarawak bagi tahun kewangan berakhir 2019, semalam.

Penyerahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mewakili Bank Rakyat dan anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn. Bhd.

Penyerahan zakat perniagaan itu turut disaksikan Ketua Setiausaha MEDAC yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Dato’ Sri Mohammad Mentek serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Rosman Mohamed.

Dalam satu kenyataan semalam, Wan Junaidi berharap agar penyerahan zakat itu dapat membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan kelangsungan bekalan makanan mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang dilaksanakan susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau turut menyeru agar institusi dan komuniti Islam terus melunaskan pembayaran zakat bagi membantu golongan yang terjejas terutamanya asnaf dan fakir miskin yang bergantung kepada bantuan semasa tempoh yang sukar.

“Semoga dengan kesempurnaan salah satu rukun Islam ini juga, perniagaan yang diusahakan Bank Rakyat bersama anak syarikatnya bertambah maju dan berkembang bagi membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif yang bakal menyumbang kepada proses pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara dan global,” tambah beliau.

Sementara itu menurut Rosman, agihan zakat perniagaan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan zakat sebanyak RM32.99 juta yang diluluskan oleh Bank Rakyat kepada seluruh negeri di Malaysia pada tahun kewangan berakhir 2019.

Saban tahun, katanya, Bank Rakyat melunaskan kewajipan tuntutan salah satu rukun Islam itu serta kewajipan sosial korporatnya dengan memperuntukkan zakat dan hibah menjangkau RM30 juta untuk disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri di seluruh negara.

“Sejak tahun 2010, Bank Rakyat telah mengagihkan keseluruhan zakat sebanyak RM39.1 juta kepada negeri Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rosman menambah agihan zakat itu selaras dengan pelan lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) yang memfokuskan Wawasan Kemakmuran Bersama dengan berkhidmat kepada komuniti dan masyarakat yang ditunjangi dengan nilai keislaman dan prinsip kelestarian.

Katanya, Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk memenuhi tuntutan mandat penubuhan Bank dalam menyediakan peluang kepada masyarakat termasuk golongan asnaf dalam membentuk kehidupan masyarakat yang makmur dan berkembang melalui penyediaan kemudahan alat kewangan sosial Islam (Islamic social tools) seperti wakaf, zakat dan hibah bagi memenuhi keperluan asas golongan yang memerlukan termasuklah makanan dan tempat tinggal.

Oleh Diyana Samsuddin