18 nelayan asing dicekup curi hasil laut

DISIASAT… Seramai 18 warga Vietnam berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri.

MIRI : 18 kru sebuah bot nelayan asing dari Vietnam berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri sekitar jam 12.30 awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 135 batu nautika dari Tanjung Baram di sini oleh kapal Maritim Malaysia (KM Bijak) yang sedang melaksanakan operasi OP Naga Timur pada jam kira-kira 12.30 pagi di sekitar perairan tersebut.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua 18 awak-awak termasuk seorang tekong bot  berumur antara 19 hingga 40 terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain tidak mepunyai kebenaran untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara.

“Bot nelayan terbabit bersama kesemua kru yang ditahan diiring ke jeti Pusat Tahanan Vesel, Pulau Melayu Miri untuk siasatan lanjut oleh Pegawai Penyiasat.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menjalankan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara,” jelasnya.

“Kesemua kru bot tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Fauzi dalam pada itu berkata Maritim Malaysia akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang Maritim di perairan Negara daripada terus diceroboh oleh nelayan asing.

Justeru beliau mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah di laut.