Sarawak komited budayakan nilai integriti

BERINTEGRITI… Datuk Talib ditemani Datuk John Sikie disambut mesra oleh penduduk setibanya di Rumah Ulen Segaya, di Nanga Tekalit, Tatau.

TATAU: Kerajaan Sarawak komited dalam membudayakan nilai integriti di pelbagai peringkat masyarakat, kata Menteri Integriti dan Ombudsman, Datuk Talip Zulpilip.

Beliau berkata, matlamat utamanya untuk membangunkan masyarakat supaya berintegriti tinggi dalam bersama-sama mendokong amanat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang ingin Sarawak maju berintegriti tinggi menjelang tahun 2030.

“Atas sebab itulah kita adakan program seperti ini selain mendekati rakyat, kita mahu menyalurkan maklumat yang tepat serta berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Integriti: Pemimpin Bersama Masyarakat Bintulu Siri 2/2020 di Rh. Ulen Segaya, Nanga Tekalit, di sini anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri, Jabatan Ketua Menteri.

Menurutnya, proses membudayakan integriti memerlukan usaha yang berterusan dan memakan masa yang panjang.

Talip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak menggesa supaya usaha menyebarluaskan nilai integriti di kalangan masyarakat terus dipergiatkan kerana ia jelas menunjukkan kepekaan rakyat mengenai isu integriti dan rasuah.

“Malah, rata-rata mahu melihat tindakan tegas dikenakan terhadap pesalah rasuah dan tidak berintegriti,” katanya.

Talip memaklumkan Kerajaan Sarawak melalui Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) merancang dan merencana pelbagai program pembudayaan integriti bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga dijalankan di luar negeri Sarawak.

“Langkah pencegahan dan pembanterasan gejala rasuah turut diberi keutamaan,” katanya.

Oleh Ellie Edward