Peserta Treasure Hunt teroka negara secara maya

SECARA MAYA…Khaidzir Md Yunus (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa e-Treasure Hunt Jubli Emas Rukun Negara, M.Govind Nair (dua, kanan) pada program tersebut di Wisma Bernama.• Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 163 rakyat Malaysia termasuk dari luar negara, yang menyertai Rukun Negara Golden Jubilee e-Treasure Hunt 2020, hari ini dibawa mengembara ke seluruh negara secara maya untuk beberapa jam. 

Semua peserta yang menyertai pencarian harta karun itu sama ada dari rumah, pejabat atau tempat lain, dibawa menjelajah dari negeri ke negeri, bermula dengan Perlis dan berakhir di Sabah kerana mereka dikehendaki menjawab soalan berdasarkan Rukun Negara, pelancongan dan papan tanda.

Mereka juga dibawa mengembara secara maya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

E-Treasure Hunt dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai satu daripada sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Perpaduan Negara.

Timbalan Ketua Pengarang (Kewangan dan Perniagaan) Bernama Khaidzir Md Yunus merasmikan permulaan e-Treasure Hunt itu di bilik sekretariat di tingkat 12, Wisma Bernama di sini. Turut hadir Ketua Command Centre M. Govind Nair, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur e-Treasure Hunt dan ahli jawatankuasa lain.

 Peserta yang terdiri daripada rakyat Malaysia pelbagai kaum, diberi tempoh lima jam, dari 9 pagi hingga 2 petang, untuk menyelesaikan pencarian harta karun itu yang mengumpulkan keseluruhan 150 mata.

Selain menjawab 30 soalan objektif mengenai Rukun Negara dan pelancongan, mereka juga dikehendaki menjawab 20 soalan subjektif berdasarkan papan tanda sepanjang jalan di seluruh negara dan berpeluang memenangi hadiah utama RM2,050 atau lebih daripada 50 hadiah wang tunai. 

Peserta juga perlu memuat naik lima foto mereka atau swafoto dengan latar belakang yang mencerminkan setiap lima prinsip Rukun Negara serta foto atau swafoto peserta di stesen kerja mereka yang turut serta dalam pencarian harta karun secara elektronik itu. 

Jawapan bagi semua soalan itu akan dimuat naik dalam laman web e-Treasure Hunt selepas berakhirnya pencarian harta karun itu.

Pemenang akan diumumkan pada Hari Malaysia iaitu 16 September.– Bernama