Sarikei sebagai sebuah pusat pertumbuhan ekonomi

UNTUK ALBUM… Dato’ Sri Huang Tiong Sii (tujuh, kanan) bergambar bersama para hadirin yang hadir ke program AgricCOP di Dewan Sentral Sarikei.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus memperkasakan bidang pertanian di negeri ini melalui pelbagai pendekatan bagi memastikan sektor penting ini terus berkembang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Katanya, selain mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import, Kerajaan Negeri juga mahu melonjakkan potensi ekonomi sesebuah kawasan dalam pelbagai sektor khususnya pertanian.

“Sudah pasti inisiatif ini diperkenalkan melalui pelbagai kaedah termasuk melalui Program Agriculture Community Outreach Programme (AgricCOP).

“Kerajaan menggalakkan petani supaya mempelbagaikan jenis tanaman dan ternakan termasuk pertanian yang berasaskan teknologi moden.

“Melalui cara ini mereka boleh mempelbagaikan sumber pendapatan mereka dan tidak hanya bergantung kepada satu komoditi sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program AgricCOP di Dewan Sentral Sarikei, baru-baru ini.

Program AgricCOP ini merupakan anjuran Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Sarikei.

Jelasnya, kepesatan pembangunan Sarikei pada hari ini bertitik tolak daripada usaha dan kesungguhan Kerajaan Sarawak yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai salah sebuah pusat pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah melalui perlaksanaan pelbagai projek pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat.

“Bagi kerajaan GPS, tidak ada apa yang lebih menggembirakan melainkan, kita mampu menunaikan janji dan menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada segenap lapisan rakyat.

“Perlaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan ini membuktikan komitmen padu kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk penduduk setempat.

“Projek agro pertanian, pembinaan Jambatan Rajang dan Jalan Sarikei ke Tanjung Manis merupakan sebahagian usaha penting kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, ini semua hasil keperihatinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Sesungguhnya usaha ini menyumbangkan ke arah pembangunan dalam pelbagai sektor khususnya pertanian. Terima kasih Abang Jo!

“Saya menggesa penduduk manfaatkan peluang melalui program AgricCOP ini dan gunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya untuk meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai peluang baharu yang disediakan oleh kerajaan,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek