1,127 agropreneur muda terima bantuan geran RM21.27 juta

PERALATAN PERTANIAN… Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi (tiga, kanan) menyampaikan peralatan pertanian kepada Muhamad Faris Mohd Fozi (tiga, kiri) yang merupakan salah seorang penerima Geran Agropreneur Muda ketika melawat projektanaman nanas MD2 di Taman Seri Raia, Kampung Kepayang, Ipoh baru-baru ini. •Foto BERNAMA

KAMPAR: Seramai 1,127 agropreneur muda menerima bantuan geran berjumlah RM21.27 juta menerusi Geran Agropreneur Muda (GAM) sejak 2016, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM7.63 juta diperuntukkan untuk sektor tanaman melibatkan seramai 380 peserta manakala sektor perikanan (61 peserta) dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Katanya bagi sektor penternakan melibatkan seramai 459 peserta dengan menerima bantuan geran berjumlah RM9.24 juta manakala 227 orang lagi menerima bantuan geran bernilai RM3.18 juta untuk bidang pemprosesan makanan.

“Bantuan geran ini merangkumi semua bidang di bawah agromakanan iaitu tanaman, perikanan, ternakan, industri makanan dan pemasaran.

“Pada tahun ini sehingga kini, di negeri Perak sahaja, seramai 17 agropreneur muda telah diluluskan geran berjumlah RM333,600,” katanya selepas merasmikan program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, dekat sini baru-baru ini.

Che Abdullah berkata sehingga kini, seramai 6,063 agropreneur muda di seluruh negara telah menerima kelulusan untuk Geran dan Pembiayaan Khas Agropreneur Muda melibatkan peruntukan sebanyak RM108.29 juta.

Pada program itu, beliau melawat projek tanaman nanas MD2 dan ‘crystal honey’milik Muhamad Faris Mohd Fozi, 23, yang menerima bantuan GAM bernilai RM20,000 pada tahun ini.

Muhammad Faris ketika ditemui pemberita berkata beliau mula menceburi penanaman nanas sejak 2018 di kawasan seluas 1.11 hektar di Gua Tempurung, di sini.

Katanya beliau telah memperluaskan lagi tanaman itu di tanah seluas 4.468 hektar di Taman Seri Raia, Kampung Kepayang, di sini, selepas mendapat bantuan Geran Agropreneur Muda.

“Program ini telah memberi manfaat kepada golongan belia untuk menceburi bidang pertanian,” katanya, sambil menambah beliau memperoleh pendapatan lebih RM50,000 setahun dengan mengusahakan tanaman nanas.- Bernama