Lubnan ‘buka pintu’ untuk penyeludup senjata

PEGAWAI keselamatan dan tentera Lubnan berkawal di pusat bandar Beirut. • Foto AFP

BEIRUT: Rampasan ribuan peluru yang diseludup masuk melalui sempadan Syria mendedahkan kegiatan aktif perdagangan senjata api peribadi di Lubnan.

Ia selepas skuad rondaan sempadan Lubnan berjaya memintas dua lelaki di laluan penyeludupan di pinggir Yanta, kira-kira 80 kilometer (km) sebelah timur Beirut.

Seorang lelaki sempat melemparkan alat peledak ke arah tentera mengakibatkan empat anggota beruniform itu cedera dalam kejadian pada Jumaat malam.

“Seorang warga Syria berjaya ditahan dan merampas empat kotak berisi peluru yang mengandungi 2,800 peluru berukuran 7.62 milimeter (mm). Pencarian sedang dilakukan untuk mencari seorang lagi individu,” kata komando tentera.

Sumber ketenteraan Lubnan memberitahu Arab News, lelaki yang ditahan itu disoal siasat untuk memperoleh maklumat mengenai pemindahan senjata antara Syria dan Lubnan.

“Rondaan tentera biasanya menemui barang dan barang seludup, tetapi ini adalah kali pertama penyeludupan peluru dari Syria ke Lubnan dikesan,” kata sumber itu.

Beberapa insiden membabitkan senjata api berlaku baru-baru ini di Lubnan, seperti tembakan ketika pengebumian mangsa letupan pelabuhan Beirut dan pertempuran bersenjata antara penyokong Hizbullah serta pihak berkuasa di Khaldeh.

“Memang ada permintaan senjata di Lubnan dan kita menerima maklumat mengenai harga tinggi berikutan terdapat permintaan tinggi.

“Pembawa selalunya orang Syria, pengangkutan senjata ke kawasan sempadan Lubnan dan dibayar dalam dolar, mata wang Syria atau mata wang Lubnan, menawarkan harga berdasarkan dolar di pasar gelap,” dakwa seorang peniaga senjata di wilayah Bekaa bersempadan dengan Syria kepada Arab New mengenai bagaimana perdagangan berlaku.

Peniaga itu mendakwa empat kotak peluru yang dirampas di sempadan kemungkinan bernilai 1.4 juta pound atau AS$930 (RM3,873).

“Harga peluru meningkat dua hari lalu. Peniaga sentiasa memerhatikan situasi keselamatan dan ketegangan yang akan menentukan harga pasaran,” katanya.

Senjata paling mendapat permintaan tinggi adalah buatan Rusia iaitu raifal Kalashnikov dengan peluru Noveske buatan syarikat AS, Nosler.

“Terdapat ejen untuk syarikat pembuatan senjata dan mereka tidak kisah untuk membawa senjata dari ejen lain di Israel atau ke mana sahaja. Syria sebuah negara yang kelam-kabut dari segi keselamatan,” katanya. – AFP